Main content

Kunjungan pelancong ke taman tema meningkat

Berita Harian Online • ASR: MYR 1,178.00

By: Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) optimis perkembangan pesat taman tema di negara ini akan menarik kehadiran lebih ramai pelancong sama ada domestik atau luar negara pada masa depan.

Naib Presiden Inbound dan Domestiknya, Jimmy Thoo, berkata kewujudan lebih banyak taman tema dan pengenalan pelbagai tarikan di taman tema akan menjadi pemacu utama kepada industri taman tema negara untuk berkembang sekali gus meningkatkan sektor pelancongan Malaysia.

 

“Jika kita lihat, industri taman tema semakin meningkat sejak kebelakangan ini bukan saja di Lembah Klang malah di kawasan luar Kuala Lumpur seperti utara tanah air dan Johor,” katanya pada sidang media MATTA bersama Desaru Coast dan Legoland Malaysia di sini, hari ini.

Berdasarkan statistik Tourism Malaysia, negara mencatatkan kunjungan 28.7 peratus pelancong ke taman tema dalam tempoh Januari hingga September tahun lalu dengan Lembah Klang dan Johor menjadi destinasi pelancongan utama di negara ini.

Beliau berkata, kewujudan lebih banyak taman tema di Malaysia pada masa ini dianggap satu perkembangan sihat dan bukan persaingan kerana ia boleh menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung di negara ini.

“Ia bukan saja meningkatkan aktiviti pelancongan dari luar negara ke Malaysia malah aktiviti pelancongan domestik berikutan kewujudan lebih banyak tempat menarik untuk dilawati di negara ini,” katanya.

Sementara itu, MATTA mengumumkan Desaru Coast dan Legoland Malaysia sebagai Taman Tema Kesukaan Malaysia bagi penganjuran Pameran Matta (MATTA Fair) yang akan berlangsung pada 15 hingga 17 Mac 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Desaru Coast menyertai Taman Tema Kesukaan Malaysia di MATTA Fair buat kali ketiga, manakala Legoland adalah untuk kali keenam.

Melalui pameran itu, Desaru Coast akan menawarkan jualan tiket eksklusif bagi tarikannya iaitu Desaru Coast Adventure Waterpark dan Hard Rock Hotel Desaru Coast manakala Legoland Malaysia bakal memberikan pelbagai tawaran istimewa dan menarik bagi pengunjung sepanjang tiga hari pameran terbabit.

 

MATTA Fair March 2019 bakal menawarkan pakej percutian tempatan dan antarabangsa daripada lebih 268 syarikat pelancongan dan ia dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 9 malam dengan bayaran masuk sebanyak RM4 seorang serta percuma bagi kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun.

 

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/03/537243/kunjungan-pelancong-ke-taman-tema-meningkat