Main content

MATTA Fair Kelantan catat jualan RM3 juta

Utusan Malaysia (Timur), Malaysia • News

 

 

KOTA BHARU 9 April - Ekspo Pelancongan 2018 anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) negeri ini telah mencatat kutipan jualan sebanyak RM3 juta.

Ekspo yang berlangsung tiga hari bermula 5 hingga 7 April itu turut mendapat sambutan menggalakkan apabila mencatat kehadiran lebih 5,000 pengunjung.

Pengerusi MATTA negeri, Ahmad Farouk Zawawi berkata, untuk ekspo kali ini, permintaan pakej umrah menjadi pilihan utama mengatasi jualan ke destinasi lain seperti China, Indonesia, Vietnam, Turki, Australia dan Eropah.

"Pakej umrah musim Ramadan dan musim sejuk iaitu pada bulan November, Disember dan awal Januari menjadi pilihan pengunjung.

"Faktor jualan menunaikan umrah antara tertinggi kerana kredibiliti agensi-agensi pelancongan yang telah berpengalaman lebih 20 tahun hingga 45 tahun dalam membawa jemaah haji dan umrah di Malaysia seperti Tabung Haji yang turut menyertai ekspo kali ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Antara agensi pelancongan yang menyertai MATTA Fair kali ini adalah Ismazul /Travel Agency Sdn. Bhd; Al-Quds Umrah & Tours; Labbaik Travel & Tour; Syarikat Pelancongan Yaskin; Tabung Haji Travel & Services Sdn. Bhd; Kopetro Travel & Tours; Hijrah Sufi Travel & Tours Sdn. Bhd., dan KRS Travel & Tours.

' Ahmad Farouk berkata, selain tawaran destinasi luar negara, pihaknya turut menawarkan pakej pelancongan domestik dalam negeri seperti Kundasang, Sabah dengan minimum peserta dua orang sahaja.

Katanya, ini bagi menarik orang ramai yang berhasrat menyertai pakej bulan madu atau menghadiahkan pakej melancong kepada ibu bapa atau sekadar mengembara bersama rakanrakan.

"Kita laksanakan ekspo ini supaya orang ramai dapat mengenali agensi-agensi pelancongan yang berdaftar dan diiktiraf Kementerian Pelancongan Malaysia supaya mereka tidak tertipu dengan sindiket pelancongan palsu terutamanya dalam menipu pakej umrah yang banyak berlaku sekarang," katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama kerajaan negeri mahupun mana-mana agensi yang ingin rnernpromosikan aktiviti pelancongan baik di dalam mahupun luar Kelantan.