MATTA Fair tawar sajian atas kapal persiaran
- Details
- Published on Tuesday, 20 March 2018 09:50
- Hits: 1783
Berita Harian Online(www.bharian.com.my)
GEORGETOWN: Orang ramai berpeluang menikmati sesi minum petang atas kapal persiaran Star Cruise Libra yang ditawarkan secara eksklusif menerusi Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) pada 30 Mac hingga 1 April ini.
Ahli Jawatankuasa Pemantau Pameran MATTA, Datuk Hamzah Rahmat, berkata sajian minum petang bertemakan 'Royal High Tea' itu julung kali diperkenalkan bagi penumpang yang membeli pakej percutian kapal persiaran standard.
Beliau yang juga bekas Presiden MATTA berkata, pakej sajian itu akan diberikan percuma kepada pengunjung yang membeli pakej percutian lengkap ditawarkan syarikat Hwajing Travel & Tours Sdn Bhd bernilai antara RM618 hingga RM3,000 setiap seorang.
"Sajian minuman petang ini hanya akan diberikan percuma dan eksklusif kepada pengunjung yang membeli pakej percutian lengkap sepanjang MATTA Fair Pulau Pinang yang akan berlangsung di Straits Quay, Tanjung Tokong nanti.
"Mereka akan berpeluang menikmati layanan daripada pelayan yang menjalani kursus khas bagi sajian minum petang dengan pemilihan menu ditetapkan cef terkemuka yang pernah menerima pelbagai anugerah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours Sdn Bhd, Kenny Cheong.
Hamzah berkata, pakej sajian berkenaan akan berlangsung sehingga Jun ini dengan pengunjung berpeluang menetapkan sesi minum petang mengikut kesesuaian jadual masing-masing.
"Dewan disediakan bagi sesi sajian minum petang ini juga mampu menampung 120 pengunjung pada satu masa," katanya.
Read more: