Pameran MATTA Fair datang lagi
- Details
- Published on Thursday, 15 March 2018 09:50
- Hits: 1586
Utusan Online(www.utusan.com.my)
KUALA LUMPUR 15 Mac - Orang ramai jangan terpedaya dengan promosi secara dalam talian oleh mana-mana agensi pelancongan yang menyamar di bawah Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) sepanjang berlangsungnya Pameran pelancongan terbesar, Matta Fair Mac 2018 yang bermula esok.
Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, orang ramai perlu berhati-hati dengan tawaran pelancongan di bawah pelbagai agensi pelancongan yang tidak berdaftar namun menggunakan Matta Fair sebagai taktik penipuan kepada orang ramai.
"Sepanjang tiga hari bermula esok, tawaran dan promosi pelancongan hanya berlangsung di tapak pameran Matta Fair dan kami tidak menawarkan sebarang promosi dalam talian.
"Kami telah mengenal pasti beberapa agensi telah mula giat mempromosi tawaran sedangkan mereka tidak berdaftar dengan kami.
"Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memperdayakan orang ramai namun suka untuk saya menasihati agar orang ramai yang mahu menikmati pelbagai promosi pelancongan menarik agar datang sendiri ke Matta Fair yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Mac ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Majlis Pra Pelancaran Pameran Matta Fair Mac 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Pameran yang memasuki edisi ke 45 ini, menyaksikan penyertaan terbanyak dengan 1,353 gerai pameran daripada 254 organisasi dan 175 daripadanya adalah agensi pelancongan dan pengembaraan. - UTUSAN ONLINE
Read more: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pameran-matta-fair-datang-lagi-1.628238