MATTA Bakal Promosi Negeri Perak
- Details
- Published on Wednesday, 22 February 2017 15:45
- Hits: 2489
KUALA LUMPUR 21 Feb. - Perak menjadi pilihan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) sebagai Destinasi Pilihan sempena MATTA Fair yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 hingga 19 Mac depan.
Setiausaha Kehormat MATTA, Nigel Wong berkata, negeri itu dipilih kerana mempunyai beberapa destinasi menarik yang wajar dipromosikan dan mampu menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
“Beberapa destinasi di Perak kerap menjadi tumpuan pelancong antaranya white water rafting di Gopeng, Hutan Belum, bandar raya Ipoh dan Lembah Lenggong yang telah mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2012.
“Malah, bangunan-bangunan warisan lama di bandar raya Ipoh merupakan tarikan utama pelancong yang melawat ke negeri itu selepas beberapa premis itu diubah menjadi cafe berkonsepkan hipster,” katanya di sidang akhbar MATTA bersama Tourism Perak di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Nigel Wong memberitahu, persatuan itu komited mempromosikan sektor pelancongan dan berusaha untuk menarik minat masyarakat melancong di dalam negara.
“Pihak kami telah menyusun pelbagai inisiatif dan strategi baharu untuk menarik lebih ramai pelancong luar negara di samping menggalakkan pelancongan domestik secara berterusan.
“Selain itu, pameran promosi destinasi pelancongan ini bukan sahaja mampu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan dunia bahkan boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE