Main content

Ambil Peluang Cuti Hujung Minggu Untuk Melancong

 

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia digalakkan mengambil peluang cuti hujung minggu yang panjang pada tahun ini untuk melancong di dalam negeri, negara serantau atau luar negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Phua Tai Neng, walaupun persekitaran ekonomi agak mencabar, rakyat Malaysia perlukan rehat untuk menghilangkan tekanan.

"Meskipun keadaan ekonomi (pada masa ini), anda dan saya perlu bercuti untuk menghilangkan tekanan, sama ada di dalam, luar negara atau serantau," katanya pada sidang media selepas majlis pengundian bagi pempamer untuk Matta Fair 2017 di sini, hari ini.   

Pameran dwi tahunan itu katanya, akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini dari 17 hingga 19 Mac.   

Beliau berkata, terdapat 300 gerai pameran untuk pelancongan domestik berbanding 200 gerai pameran pada pameran September tahun lalu.

"Kami juga menyasarkan jualan sebanyak RM180 juta, sama seperti pameran sebelum ini," katanya dan menambah 100,000 pengunjung dijangka hadir ke pameran itu. - Bernama


Rujukan : http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/ambil-peluang-cuti-hujung-minggu-untuk-melancong-1.607655