MATTA FAIR 2023 PENGANJURAN TERBESAR SEJAK PANDEMIK
- Details
- Published on Monday, 30 January 2023 09:30
- Hits: 466
BERITA HARIAN, MALAYSIA • NEWS
KUALA LUMPUR: MATTA Fair 2023 yang bakal diadakan pada 17 hingga 19 Mac ini akan menjadi penganjuran terbesarnya sejak pandemik COVID-19 dengan sasaran jualan sebanyak RM400 juta.
Pengerusi Penganjur MATTA Fair 2023, Rocky Kho, berkata jumlah jualan itu adalah yang terbesar pernah disasarkan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berdasarkan kepada saiz penganjuran kali ini yang diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Beliau berkata, anggaran jualan itu juga adalah peningkatan dua kali ganda daripada nilai jualan yang diperoleh semasa MATTA Fair yang diadakan pada 2019 sebanyak RM210 juta.
"Kami membandingkan sasaran tahun ini dengan sasaran yang diadakan sebelum berlakunya pandemik.
"Kami menjangkakan jualan yang lebih tinggi berikutan pemulihan yang dijangkakan dalam sektor pelancongan dan pelancongan global, didorong terutamanya oleh pembukaan sempadan oleh China," katanya ketika taklimat media MATTA Fair 2023 di sini, hari ini.
Kho berkata, MATTA Fair 2023 juga turut dijangka menarik kehadiran 250,000 pengunjung, peningkatan ketara berbanding 101,789 pengunjung daripada penganjuran sama pada September 2019 dan 43,996 pengunjung pada September 2022.
Beliau berkata, pengguna sudah lama menyimpan hasrat untuk melancong dan dengan pembukaan sempadan banyak negara termasuk China, menjadikan 2023 adalah tahun pelancongan global.
Malah, katanya, MATTA Fair 2023 turut mempamerkan lebih banyak destinasi menarik dengan penyertaan daripada pelbagai lembaga pelancongan luar negara.
"Sebagai contoh, Arab Saudi adalah peserta yang akan menyertai pameran kali ini. Ia menawarkan pelancongan negara itu bukan saja kepada pelancong muslim tetapi bukan Muslim," katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Penganjur MATTA Fair 2023, Nigel Wong Chun Teim, pula berkata 2023 menjadi tahun pemulihan industri pelancongan dan berdasarkan data World Travel And Tourism Council (WTTC), industri itu akan kembali ke paras sebelum pandemik.
Beliau berkata, industri pelancongan global dijangka melonjak 5.8 peratus dan mampu membuka kembali pekerjaan kepada 126 juta pekerja.
Katanya, di peringkat Malaysia, industri pelancongan akan terus merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan sekali gus mampu menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara.
"Pembukaan sempadan China juga akan membantu pemulihan berterusan industri ini kerana China adalah negara yang menjadi penyumbang utama kepada kedatangan pelancong sebelum pandemik COVID-19.
"Industri pelancongan akan kembali pulih dan dengan pameran seperti MATTA Fair akan membantu melonjakkan lagi industri," katanya.
For full article click here, https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/01/1056699/matta-fair-2023-penganjuran-terbesar-sejak-pandemik