Pakej Istimewa
- Details
- Published on Wednesday, 30 August 2017 15:35
- Hits: 3585
Kuala Lumpur: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) memilih tema ‘Sarawak Je’ sebagai tema rasmi pada pameran pelancongan tahunan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 8 hingga 10 September depan.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tema itu bertepatan untuk menjadikan Sarawak sebagai destinasi kegemaran Malaysia sepanjang berlangsungnya pameran tiga hari itu.
“Kita percaya melalui pemilihan tema ini, ia dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melancong ke Sarawak melalui promosi dan penyusunan pakej pelancongan yang ditawarkan pada harga berpatutan.
“Melalui pameran ini, kerjasama dan sokongan daripada pelbagai agensi pelancongan akan membawa kejayaan dan terus menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan di dalam dan luar negara,” katanya di Wisma MATTA, di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden MATTA Datuk Kl Tan, Pengerusi MATTA Sarawak Dayang Azizah Abang Zaidan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif STB Mary Wan Mering.
Menurut beliau, lebih 100 pilihan pakej pelancongan domestik dan antarabangsa ditawarkan daripada 160 ejen pelancongan berlesen.
“Dengan 11 tapak pameran Pavilion Sarawak yang diambil STB ini adalah pilihan tepat bagi menggalakkan lebih ramai rakyat di Semenanjung untuk berkunjung ke Sarawak melalui pakej yang ditawarkan.
“Di pameran ini juga pelbagai pakej pelancongan istimewa akan ditawarkan kepada pengunjung dengan harga serendah RM69.90,” katanya.
Sementara itu, Tan berkata, pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan dan cabutan bertuah akan dijalankan sepanjang pameran berlangsung.
“Pengunjung digalakkan untuk mengambil gambar di tapak pameran Pavilion Sarawak menggunakan hastag #SarawakJe #MattaFair dan #AwesomeSarawak untuk memenangi hadiah menarik,” katanya.
Read More at https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/08/259037/pakej-istimewa