Pilihan Tepat
- Details
- Published on Monday, 20 March 2017 16:55
- Hits: 2651
Kuala Lumpur: Pemilihan Perak sebagai destinasi kegemaran Malaysia bagi acara jualan produk pelancongan domestik dan antarabangsa, MATTA Fair tahun ini sangat bertepatan.
Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyifatkan Perak sebagai sebuah lokasi keajaiban dunia dan pemilihannya untuk tumpuan MATTA Fair kali ini wajar, bersesuaian dengan Tahun Melawat Perak 2017.
Presiden MATTA Datuk Hamzah Rahmat berkata, Ipoh menduduki tangga keenam sebagai destinasi terbaik untuk dilawati di Asia oleh Lonely Planet dan Perak sendiri diiktiraf kesembilan terbaik dunia sebagai lokasi wajib dilawati pada tahun 2017.
“Selain Perak, MATTA Fair kali ini memilih Taiwan sebagai destinasi kegemaran Asia yang mana negara itu giat mempromosi Taipei untuk pelancong Islam seperti yang dilakukan Jepun dan Korea sebelum ini.
“Tourism Indonesia pula menjadi organisasi pelancongan negara luar yang terbesar di MATTA Fair 2017 dengan menyediakan 36 ruang perniagaan,” katanya pada Majlis Perasmian MATTA Fair bagi Mac 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Menurutnya, MATTA Fair 2017 dijangka mencapai sasaran nilai transaksi perniagaan lebih RM180 juta selepas melakukan penambahan ruang perniagaan 1,299 lot berbanding 1,210 tahun lalu.
Katanya yang juga Presiden Persatuan Pelancongan ASEAN, penganjuran MATTA Fair turut mempromosikan kempen khas ‘Tahun Melawat ASEAN @ 50 Golden Celebration’ sempena ulangtahun ASEAN ke-50 pada 8 Ogos depan.